Salam Muhibbah ...
Hari ni merupakan hari ketiga isteri saya berada dalam Medical Department yang juga merupakan department ke-empat beliau selepas berjaya melepasi department Orthopedic, Surgical dan Paediatric. Kini beliau berbaki dua lagi department iaitu Emergency dan O&G sebagai melengkapi dua tahun housemanship beliau di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Bermakna, setiap doktor pelatih itu perlu melengkapkan 6 department yang telah ditetapkan sepanjang dua tahun housemanship mereka sebelum mereka boleh bergelar Medical Officer (MO).
Bagi isteri saya yang baru saja memasuki Medical department, beliau dan rakan-rakannya telah ditetapkan untuk bekerja selama 17 jam bermula seawal 7 pagi sehinggalah pukul 12 tengah malam selama dua minggu. Bahkan kadang-kadang waktu kerja beliau boleh mencecah sampai ke pukul 1 pagi bergantung kepada kehadiran jumlah pesakit baru serta ward review yang perlu beliau selesaikan pada hari tersebut.
Tempoh kerja sebegini disebut sebagai ‘tagging’.
Tetapi ini merupakan kali pertama isteri saya ‘tagging’ selama dua minggu kerana sebelum ini, tempoh tagging beliau hanyalah satu minggu sahaja bagi department yang lain. Menurut isteri saya, department Medical merupakan antara department yang tersibuk diantara ke enam-enam department tersebut. Boleh dikatakan ia merupakan department kedua tersibuk selepas O&G dan dua minggu tagging merupakan waktu yang sangat memenatkan menurut beliau.
Secara ringkasnya, tagging sebenarnya merupakan tempoh masa yang diberikan kepada doktor-doktor pelatih untuk menyesuaikan diri dengan department baru yang mereka masuki. Dalam tempoh masa tersebut, mereka perlu belajar dan akan diberikan pendedahan terhadap prosedur-prosedur umum yang perlu dilakukan kepada setiap pesakit yang hadir.
Dalam tempoh waktu tersebut, waktu rehat yang diperuntukkan hanyalah 2 jam sahaja iaitu di antara pukul 5 petang ke pukul 7 malam. Dalam masa tersebut, mereka dibenarkan untuk balik ke rumah, tidur, mandi, makan atau sebagainya. Walaubagaimanapun, ia masih tetap bergantung kepada suasana dan keadaan department tersebut. Maksudnya, waktu tersebut masih lagi tidak menjanjikan mereka untuk benar-benar dapat berehat dari tanggungjawab bekerja.
Sekiranya isteri anda berkesempatan untuk berehat dalam masa rehat tersebut, mintalah beliau mandi dan bawa pakaian lebih supaya dapat memberi kesegaran dan keselesaan kepada tubuh badan untuk bekerja sampai ke waktu malam.
Sepanjang pengalaman isteri saya melalui tempoh tagging, masalah utama yang saya lihat terpaksa dihadapi oleh beliau ialah ketidakcukupan masa untuk tidur dan makan. Bayangkan sekiranya beliau dibenarkan balik pukul 12 tengah malam, tempoh masa beliau untuk tidur sebenarnya tidak sampai 5 jam. Ini menyebabkan kadang-kadang beliau mengadu pening kepala, mengantuk dan penat kerana tempoh masa 5 jam itu sebenarnya tidak mencukupi untuk beliau benar-benar dapat berehat. Namun sebagai suami, saya perlu sentiasa optimis serta memberikan sokongan, dokongan dan semangat supaya isteri saya dapat terus bersabar dan kuat walaupun saya sendiri dapat merasai kepenatan dan bebanannya. Apapun, begitulah hakikat dan realiti yang terpaksa isteri saya dan semua doktor-doktor pelatih perlu hadapi sepanjang tempoh housemanship mereka.
Keduanya ialah masa untuk makan. Ia bergantung kepada kepandaian mereka untuk mencari masa makan dalam ruang yang terbatas itu. Oleh kerana itu, apabila pulang di rumah, saya akan tetap pastikan isteri saya makan sedikit sebelum beliau tidur untuk memastikan kesihatan beliau berada dalam keadaan baik di sepanjang tempoh tagging tersebut.
Yang terakhirnya ialah nasihat saya kepada diri saya sendiri dan kepada para suami yang berkeinginan dan sedang beristerikan doktor seperti saya…banyakkanlah bersabar dan berikan sepenuh perhatian kepada isteri anda. Bantulah dia mengurus masanya dengan baik dan ringankanlah bebannya mengikut kemampuan anda. Dalam saat-saat begini, isteri anda sangat memerlukan sokongan dan dokongan anda. Janganlah memaksa isteri anda untuk berbual panjang dengan anda atau meminta sesuatu yang akan menambahkan bebannya. Berilah masa di rumah itu untuk beliau tidur dan berehat dengan sebaiknya kerana hanya itu saja masa yang isteri anda ada untuk merehatkan badannya setelah seharian bekerja.Maafkanlah dia sekiranya di sepanjang tempoh sebegini, isteri anda tidak mampu untuk memberikan yang terbaik kepada anda sebagai suaminya.
Ya, anda memang suaminya...tetapi jangan lupa bahawa anda juga adalah sahabatnya. Sahabat yang baik ialah sahabat yang dapat meringankan beban sahabatnya yang sedang berada dalam kesusahan.
Allahumma Yassir laha umuuroha wa anzil sakeenata fi qolbiha, wansurha fi zumratiha wa a’maaliha wadunyaaha, faghfirli faghfirlaha Ya Robbal ‘Alameennn …