Thursday, April 28, 2011

Mahligai kasih Medik


“Abang, sayang oncall esok …”, sms isteri saya yang masih bekerja di hospital.

Hati kecil saya berkata-kata, “Hai, rasanya baru je oncall hari tu. Esok oncall balik”.

Beginilah realiti beristerikan seorang doktor. Ditinggalkan keseorangan merupakan perkara biasa yang terpaksa diterima.

Dalam seminggu, pasti ada sehari saya akan ditinggalkan isteri disebabkan oleh jadual oncallnya itu. Hari ini berpisah, esok petang baru boleh bertemu kembali.

Bukan tidak sedih setiap kali isteri saya memaklumkan kepada saya tentang hari oncallnya itu. Tetapi apa boleh buat, ada perkara yang perlu kita korbankan demi kerjayanya yang fardu itu.

Tidak stress?

Bohong kalau saya katakan saya langsung tidak stress.

Masakan tidak, kadang-kadang saya terasa belum puas lagi bersama dengan isteri dan banyak lagi hal yang ingin kami bualkan bersama. Tetapi dek kerana tugasannya itu berkait dengan hidup dan matinya seseorang, saya terpaksa merelakannya untuk pergi.

Terus terang saya katakan, saya tidak punya banyak waktu bersama isteri saya. Setiap hari, isteri saya perlu berada di hospital seawal jam 7 pagi dan pulang pula selepas jam 5 petang. Kehidupannya di hospital lebih panjang berbanding kehidupannya bersama saya. Celiknya bersama pesakit lebih lama berbanding celiknya bersama saya. Dan perbualannya bersama rakan sekerjanya pula lebih banyak berbanding perbualannya bersama saya. Mana tidaknya, selepas pulang saja ke rumah, isteri saya sudah kepenatan dek kerja yang tidak henti-henti dari pagi sampai ke petang dan kerap kali juga tidak sempat untuk makan tengahari dan berehat semasa bertugas. Bahkan untuk mendirikan solat pun harus pandai-pandai mencuri waktu.

Jadi, apalah yang hendak diperbualkan lagi bila badan dan otak sudah kepenatan?

Walaubagaimanapun, tiada masalah yang tiada jalan keluar … bersabar dan bertawakkal kepada Allah semata-mata merupakan jawapannya. Tetapi hakikatnya, ia tidaklah semudah melafazkan kata-kata di bibir. Saya sendiri kadang-kadang tergelincir juga oleh mainan emosi dan perasaan..

Begitulah keadaannya…

Saya tidak tahu bagaimana keadaannya di negara lain. Tetapi di negara kita, begitulah realitinya. Tetapi apa yang saya dimaklumkan seperti di Australia dan di United Kingdom, keadaan housemanship di sana tidaklah seteruk ini.

Pernah sekali saya bertanya kepada isteri mengapa begitu teruk sekali pekerjaannya di sepanjang housemanship ini. Isteri saya memberitahu bahawa mereka terpaksa melakukan kerja-kerja staffness yang lain di samping kerja-kerja housemanship yang sepatutnya mereka lakukan. Saya tidak tahu di manakah silapnya dan lemahnya sistem tersebut, tetapi inilah faktor yang menyebabkan mereka tidak sempat untuk duduk apatah lagi untuk makan tengahari.

“Permasalahan ini tak pernah dibawa ke peringkat atasan ke?”, tanya saya kepada isteri.

“Pernah, tetapi mereka bagi alasan … kalau kami dulu boleh buat, mengapa kamu tak boleh buat. Keadaan kami dulu lebih teruk dari sekarang…”, jelas isteri saya.

Saya tidak faham dengan mentaliti mereka yang berada di atas sana. Apakah itu merupakan jawapan yang layak bagi golongan yang dianggap professional itu?

Yang kita harapkan ialah jawapan penyelesaian terhadap masalah yang berlaku, Tetapi malangnya, ia seperti melepaskan batuk di tangga. Sedih !

Kita semua tahu bahawa doktor berperanan untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada pesakit-pesakit mereka dengan layanan dan rawatan yang baik. Tetapi dengan realiti pekerjaan yang seumpama itu, apakah kita dapat mengharapkan perkhidmatan sebaik itu daripada mereka sekiranya doktor sendiri berada di dalam keadaan tertekan dan stress?

Apa yang membimbangkan saya selama ini ialah, doktor yang ditugaskan untuk merawat pesakit akhirnya ditimpa sakit dan berpenyakit.

Ehm, tak tahu lah saya ….

“Ya Allah, dengan rahmatmu kamu mengadu. Perbaikilah setiap urusan kami dan janganlah engkau membiarkan kami mengurus keadaan kami sendiri walau sedetikpun atau yang lebih kecil daripada itu Wahai Sebaik-baik Pemberi”