Sebenarnya saya tak tahu bagaimana harus saya memulakan penulisan pertama saya di dalam blog ini. Tetapi jauh di sudut hati, saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang satu perkara yang amat penting bagi saya. Sebelum kemunculan blog ini, satu perkara yang sering bermain-main di fikiran saya pada hampir setiap malam ialah, adakah patut saya menulisnya atau ia hanya membuang masa saya saja. Tetapi semakin saya memikirkannya, perasaan ingin menulis itu semakin hari semakin mendesak permikiran saya. Perasaan itu menuntut saya untuk membuat keputusan. Jadi, pada saat ini saya mengambil keputusan untuk menulis dan justeru itu, tertubuhlah blog ini yang saya namakan Diari Cintaku.
Tetapi sebelum saya pergi jauh, tentu anda tertanya-tanya apakah sebenarnya perkara penting yang ingin saya kongsikan bersama saudara. Jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah berkenaan dengan sebuah perjalanan kehidupan yang bakal dan akan saya tempuhi tidak lama lagi.
Insyallah kalau diizinkan Allah SWT, saya akan bernikah pada 11.2.2011 ini dengan seorang calon muslimah pilihan hati saya yang bergelar doktor.
Namun bukan nikah itu yang ingin saya higlightkan di sini. Sebenarnya, perkara utama yang mendorong saya untuk menulis blog ini adalah kerana saya ingin berkongsi pengalaman kehidupan saya dengan seorang doktor. Ya, doktor !
Bila sebut saja beristerikan doktor, saya percaya tentu ramai di antara kita punya reaksi yang tersendiri bergantung dari sudut mana penilaian itu dibuat. Tetapi berdasarkan kepada pengalaman saya sendiri ketika ditanya oleh rakan-rakan dan kenalan tentang kerjaya bakal isteri saya, rata-rata respon yang diberikan oleh mereka adalah salah satu dari keduanya, samada "Aaaa" atau "Wow". Reaksi pertama seolah-olah ingin mengatakan bahawa saya sudah buat kerja "giler" kerana memilih doktor sebagai isteri, manakala reaksi kedua pula menunjukkan rasa "ta'ajjub".
Saya tidak hairan dengan reaksi tersebut kerana saya tahu masyarakat mempunyai penilaian khusus terhadap isteri yang bergelar doktor atau suami yang beristerikan doktor. Bahkan ayah saudara saya yang juga merupakan seorang doktor memberikan reaksi "Aaaa" tatkala mendengar hasrat saya ingin beristerikan seorang doktor. Mengapa dan kenapa persepsi boleh wujud sebenarnya disebabkan oleh faktor kerjaya kedoktoran itu sendiri yang sangat terkenal dengan kesibukkannya itu. Jadi, apa mahu hairan ...
Ehmm, terus terang saya katakan, perasaan takut dan bangga itu kedua-duanya wujud dalam diri saya. Saya merasa bangga kerana saya bakal bersuamikan seorang isteri yang mempunyai kerjaya yang disegani ramai. Tidak semua orang berpeluang menjadi doktor kerana syarat kelayakkannya ketat sedangkan permintaannya pula tinggi. Oleh itu, hanya mereka yang bertuah dan berkelayakkan saja yang mungkin berpeluang menceburi kerjaya tersebut.
Tetapi dalam masa yang sama, perasaan takut juga berlari-lari di fikiran saya kerana saya tahu, profesyen isteri saya ini akan banyak merampas hak-hak saya sebagai suaminya disebabkan oleh kesibukkan beliau itu nanti. Saya mungkin perlu lebih banyak berkorban demi kerjaya dan cita-citanya. Ibarat kata bakal ayah mertua saya, "You must not marry her only but you have to marry her profession too". Mak saya juga berkata, "Nanti dah kawin kene faham betul-betul kerja dia". Ya, mengahwini seorang doktor bukan sekadar mengahwini dirinya saja, tetapi saya perlu mengahwini kerjayanya juga. Saya perlu faham kerjayanya. Saya perlu lebih bersabar, berkorban dan understanding. Kalau saya tidak mempunyai kesemua itu, bererti saya akan gagal menakhodai sebuah pelayaran kehidupan saya dengan beliau nanti dan pelayaran kehidupan kami akan terumbang-ambing, na'uzubillahi min zalik.
Jadi, inilah asas utama kemunculan blog ini dengan nama Diari Cintaku. Saya ingin belajar dan dalam masa yang sama berkongsi pengalaman dengan anda semua di atas semangat ingin menerima dan memberi, dengan harapan anda juga sudi berkongsi pengalaman anda dengan saya terutamanya sekiranya ada dikalangan saudara-saudari yang beristeri atau bersuamikan seorang doktor juga.
Doakan kami bahagia
-------------------------------------------------------------------------------------------------
* Untuk bakal isteri saya yang sedang membaca blog ini, ana ingin meminta izin anti untuk mencoretkan sedikit pengalaman ana bersama rakan-rakan di luar sana tentang kehidupan yang bakal kita sama-sama tempuhi nanti. Semoga dengan sedikit perkongsian ini nanti akan ada input-input positif yang boleh kita kongsikan bersama-sama bakal-bakal saudara kita yang akan beristeri atau bersuamikan seorang doktor juga nanti dan Insyallah, semoga dengan semangat memberi ini juga, akan ada imbalan kebaikkan dalam membantu menambah-baik hubungan kita suami isteri. Ameen
No comments:
Post a Comment